Saturday, May 3, 2008

Salam Perkenalan

Bismillaahir Rahmaanir Rahiim

Bismillaahi Walhamdulillaah

Segala puji bagi satu-satunya yang layak dipuji, Allah s.w.t kerana telah memberikan keizinan buatku untuk membuat blog sendiri, perkara yang tidak pernah ku hajatkan selama ini. Namun, setelah mendapat banyak nasihat dari pelbagai pihak yang bersahabat mahupun yang memimpin diriku, maka ku kuatkan diri untuk membina blogku sendiri. Masih ku teringat ketika ku mengikuti kursus penulisan dan membina blog setahun yang lalu. Ketika itu, langsung tidak ada dalam diriku minat untuk menulis mahupun menghuraikan idea-idea dan pendapatku dalam bentuk penulisan. Pemikiranku ketika itu masih tertutup dan jumud; ‘penulisan dan penerangan hanya untuk biro penerangan atau penerbitan, aku tak terlibat’. Maka, sepanjang saat itu jualah ku tidak mengambil kisah tentang bidang penulisan, apatah lagi untuk membina blog milikku sendiri.

Akhirnya, setelah PRU12 berlalu, ku mendengar post-mortem yang dibuat oleh beberapa pihak berkenaan kemenangan besar pembangkang hingga mampu menguasai 5 negeri; fungsi bloggers!. Terkejut bercampur kagum mengisi ruang dadaku. Sejak itu, ku mula memberikan secebis tumpuan mataku dan sesaat ruang masaku untuk melihat sahabat-sahabatku yang sudah mula menulis dalam blog mereka sendiri. Ku kagum dengan semangat yang mereka ada untuk menterjemahkan idea mereka dan perasaan mereka dalam bentuk yang bersifat hitam putih, bukan sekadar telinga yang mampu mendengar penjelasan dan luahan mereka, malah mata dan hati juga mampu membaca berulang-ulang kali idea-idea yang mereka lontarkan. Mungkin inilah manfaat penulisan. Sifatnya unik. Bentuknya konkrit dan hitam putih, bukan bersifat abstrak dan kelabu yang terawang-awang di awan minda mahupun bergetar-getar di bibir mulut sahaja.

Akhir kata, terima kasih ku ucapkan buat sahabatku Sharif (islahkan-dunia.blogspot.com) kerana telah memberikan ku tunjuk ajar untuk membina blog. Begitu jua sahabatku Fareez (mohdfareezothman.blogspot.com) yang telah menunjukkan kesungguhannya untuk menulis hinggakan terkesan semangatnya itu pada benak jiwaku. Terima kasih jua untuk semua pihak yang telah menyedarkan ku tentang kepentingan mempunyai blog tersendiri. Salam perkenalan. Wallahu’alam

No comments: