Dalam satu sesi di Kursus Sukarelawan Al-Falah yang saya pernah ikuti baru-baru ini (25-27 April 2008), ada satu perumpamaan menarik untuk dikongsi bersama sahabat-sahabat. Kita sering bersikap seperti memegang teropong berkuasa tinggi untuk meneropong orang lain. Lalu, ketika meneropong, terzahirlah pada pandangan mata kita sebiji titik hitam yang besar ataupun sebutir ketulan yang berwarna kuning kemerahan. Maka dalam hati kecil, kita mula membuat kesimpulan,“buruknya rupa orang ni!”. Tanpa sedar,kita sebenarnya menunjukkan sikap “jump to conclusion” yang begitu ketara. Apabila kita melihat rupa keseluruhan manusia tersebut, baru kita perasan bahawa cantiknya rupa dia, dengan tahi lalat yang menjadi pemanis wajah. Ataupun jerawat batu yang hanya timbul di wajahnya itu hanya berlaku jarang-jarang sahaja.
Inilah sifat manusia yang akan merosakkan hubungan persahabatan dan persaudaraan antara Muslim. Seperti kebiasaan,sebagai seorang Muslim, setiap perkara yang berlaku perlulah berbalik kepada ajaran Islam. Konsep husnuzon sering menjadi perkara utama apabila berbicara berkenaan ukhuwwah Islamiyyah. Inilah serendah-rendah darjat ukhuwwah yang diajar dalam Islam. Maka, mereka yang terlalu cepat menilai manusia dengan hanya memandang kepada beberapa aspek merupakan orang yang tidak reti berukhuwwah. Inilah yang terjadi kepada sang peneropong tadi yang terus negatif kepada orang lain dengan hanya memandang kepada bahagian-bahagian tertentu sahaja. Moga-moga kita bukan seperti sang peneropong tadi. Wallahu’alam.
No comments:
Post a Comment