Bismillaahi Walhamdulillaah. Dalam satu siri ceramah yang pernah saya ikuti, ada satu nasihat yang begitu baik untuk dijadikan pengajaran dan pedoman dalam kehidupan kita. Kita seperti pokok?! Begitulah persoalan yang cuba dibawa oleh penceramah agar kami semua berfikir. Pokok apabila ditanam di tempat yang ditutupi simen, lama-kelamaan simen tersebut akan merekah. Pokok yang tumbuh di longkang, lama-kelamaan akan memecahkan longkang tersebut. Pokok yang tumbuh menjalar di atas bumbung, lama-kelamaan akarnya akan menembusi dinding rumah dan masuk ke dalam rumah. Pokok di hutan bertarung untuk tumbuh tinggi ke langit semata-mata untuk mendapatkan bekalan gas yang mencukupi. Mereka berjuang untuk kehidupan. Perjuangan mereka semata-mata untuk memastikan mereka mampu hidup lama. Perjuangan mereka akan merosakkan binaan-binaan yang ada di sekeliling mereka. Inilah perjuangan sebatang pokok. Kerana ia telah ditaqdirkan sedemikian rupa oleh Allah.
Manusia pula bagaimana? Adakah anda seperti pokok? Apakah kita berjuang semata-mata untuk memastikan kita mampu hidup lama atas muka bumi ini? Ataupun untuk memastikan kita mampu mendapatkan seberapa banyak bekalan bersifat jasadiyyah sepertimana pokok? Jawapan berada di tangan anda. Tepuk dada, tanya hati. Namun, bagi saya, hidup ini adalah untuk mati. Perjuangan sebenar dalam hidup ini tidak lain hanyalah untuk mati. Kerana, kehidupan abadi hanya bermula selepas kematian sedangkan hidup di dunia ini hanyalah medan persinggahan. Maka, orang yang berjuang untuk kehidupan selepas mati adalah orang yang berjaya, bukan seperti pokok yang hanya berjuang untuk kehidupan di bumi sahaja. Sepertimana yang telah diumpamakan oleh Hujjatul Islam, Imam Al-Ghazali bahawa kita seperti pengembara dalam kapal yang membawa kita ke tempat persinggahan (dunia) dan kapal ini akan bergerak lagi menuju tempat yang kekal abadi. Ketika itu, orang yang sedang leka berjuang untuk dunia mereka akan terkapai-kapai. Maka beruntunglah mereka-mereka yang sentiasa sedar bahawa dunia tidak lain hanyalah tempat persinggahan untuk kita mengumpul bekal menuju negeri akhirat yang kekela abadi. Akhir kata, peganglah prinsip ini dalam kehidupan seharian anda, “ hidupku untuk matiku”. Wallahu’alam.
No comments:
Post a Comment