Bismillaahi Walhamdulillaah
Sabda Nabi s.a.w, “Pada hari kiamat, setiap mata menangis kecuali tiga mata; mata yang menangis kerana takut kepada Allah, mata yang terpejam dari larangan-larangan Allah, serta mata yang berjaga di jalan Allah”. Allah jua berfirman dalam kitabnya yang mulia, Al-Quranul Karim:
109. Dan mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyu'. (al-Israa’)
82. Maka hendaklah mereka tertawa sedikit dan menangis banyak, sebagai pembalasan dari apa yang selalu mereka kerjakan. (at-Taubah)
Setelah ku terdetik untuk mula menulis blog, pada mulanya ku ingin meletakkan nama Izzul-Islam (kemuliaan Islam) untuk menterjemahkan harapan diriku agar Islam kembali dijulang dan dimuliakan pada tempat yang layak untuknya, kerana hanya darjat kemuliaanlah yang sepatutnya menjadi tempat untuk Islam. Di saat-saat akhir ku melangkah ke cyber café untuk membina blog, terlintas di kotak akalku untuk meletakkan nama yang lain; Titisan Air Mata, kerana, bagiku, manusia tidak akan mengenal erti kemuliaan agama selagimana tak tertitisnya air dari mata kita setelah sekian lama melihat Islam dihina, dicerca dan dizalimi seakan-akan Islam menjadi hamba kepada agama-agama kuffar yang lain. Sedangkan Allah telah menjamin bahawa sesungguhnya Islam sahajalah agama yang diredhai disisinya.
Oleh yang demikian, selagi air murni tidak mengalir keluar dari mata kita, maka selama itu jualah tertutup hati kita dari mengenal kemuliaan Islam; kerana titisan air mata hanya datang dari hati yang jernih pandangannya pada Allah yang telah menjamin agama yang kita anuti ini. Tidak akan tertitisnya air dari hati yang berkarat. Moga harapanku kembali bersinar; untuk melihat masyarakat kembali menitiskan air mata suci apabila Islam dihina. Bukan menangis kerana lemah. Namun, dengan tangisan, akan lahirnya kekuatan. Dengan kekuatan, akan lahirnya tindakan. Dengan tindakan, akan terjulangnya ISLAM yang suci! Wallahu’alam
No comments:
Post a Comment