Saturday, May 3, 2008

Quran Is The Book Of Science?

BismilLaahi WalhamdulilLaah...

Dalam satu kelas UNGS ketika short sem di Pusat Asasi UIAM, pensyarah mengeluarkan satu kenyataan; “Quran is not a bookof science but it is a book of sign”. Maka saya terus mengaitkan kenyataan ini dengan apa yang telah saya pelajari selama ini. Alam ciptaan Allah bukan semata-mata untuk menyenangkan kehidupan kiat tetapi membawa maksud dan tujuan yang lebih besar dari itu; untuk kita renung dan fikir tentang kehebatan Sang Pencipta. Di sini saya bawakan 2 ayat Quran yang mengajak kita untuk terus berfikir tentang alam ini:

164. Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang berlayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu dia hidupkan bumi sesudah mati (kering)-nya dan dia sebarkan di bumi itu segala jenis hewan, dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi; sungguh (terdapat) tanda-tanda (keesaan dan kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan. ( Al-Baqarah)

190. Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. (Ali-Imran)

Maka, dalam blog saya ini, saya ingin membawa pembaca-pembaca sekalian untuk memanfaatkan akal yang Allah pinjamkan untuk kita bagi memikirkan tentang kehebatan Allah melalui penciptaan alam semesta. Jika anda berada dalam apa bidang sekalipun, pastinya ia mampu dikaitkan dengan kebesaran Allah. Sebagai contoh, jika anda berada dalam bidang fizik, pastinya banyak fenomena-fenomena yang mengagumkan anda seperti fenomena frekuensi yang meruntuhkan jambatan suatu ketika dahulu fenomena Tsunami yang menggegarkan dunia. Hanya mereka yang berfikir mampu berjaya di dunia dan akhirat. Wallahu’alam.

Apakah Kita Sama Dengan Pokok?

Bismillaahi Walhamdulillaah.

Dalam satu siri ceramah yang pernah saya ikuti, ada satu nasihat yang begitu baik untuk dijadikan pengajaran dan pedoman dalam kehidupan kita. Kita seperti pokok?! Begitulah persoalan yang cuba dibawa oleh penceramah agar kami semua berfikir. Pokok apabila ditanam di tempat yang ditutupi simen, lama-kelamaan simen tersebut akan merekah. Pokok yang tumbuh di longkang, lama-kelamaan akan memecahkan longkang tersebut. Pokok yang tumbuh menjalar di atas bumbung, lama-kelamaan akarnya akan menembusi dinding rumah dan masuk ke dalam rumah. Pokok di hutan bertarung untuk tumbuh tinggi ke langit semata-mata untuk mendapatkan bekalan gas yang mencukupi. Mereka berjuang untuk kehidupan. Perjuangan mereka semata-mata untuk memastikan mereka mampu hidup lama. Perjuangan mereka akan merosakkan binaan-binaan yang ada di sekeliling mereka. Inilah perjuangan sebatang pokok. Kerana ia telah ditaqdirkan sedemikian rupa oleh Allah.

Manusia pula bagaimana? Adakah anda seperti pokok? Apakah kita berjuang semata-mata untuk memastikan kita mampu hidup lama atas muka bumi ini? Ataupun untuk memastikan kita mampu mendapatkan seberapa banyak bekalan bersifat jasadiyyah sepertimana pokok? Jawapan berada di tangan anda. Tepuk dada, tanya hati. Namun, bagi saya, hidup ini adalah untuk mati. Perjuangan sebenar dalam hidup ini tidak lain hanyalah untuk mati. Kerana, kehidupan abadi hanya bermula selepas kematian sedangkan hidup di dunia ini hanyalah medan persinggahan. Maka, orang yang berjuang untuk kehidupan selepas mati adalah orang yang berjaya, bukan seperti pokok yang hanya berjuang untuk kehidupan di bumi sahaja. Sepertimana yang telah diumpamakan oleh Hujjatul Islam, Imam Al-Ghazali bahawa kita seperti pengembara dalam kapal yang membawa kita ke tempat persinggahan (dunia) dan kapal ini akan bergerak lagi menuju tempat yang kekal abadi. Ketika itu, orang yang sedang leka berjuang untuk dunia mereka akan terkapai-kapai. Maka beruntunglah mereka-mereka yang sentiasa sedar bahawa dunia tidak lain hanyalah tempat persinggahan untuk kita mengumpul bekal menuju negeri akhirat yang kekela abadi. Akhir kata, peganglah prinsip ini dalam kehidupan seharian anda, “ hidupku untuk matiku”. Wallahu’alam.

Meneropong Keburukan Insan

Bismillaahi Walhamdulillah

Dalam satu sesi di Kursus Sukarelawan Al-Falah yang saya pernah ikuti baru-baru ini (25-27 April 2008), ada satu perumpamaan menarik untuk dikongsi bersama sahabat-sahabat. Kita sering bersikap seperti memegang teropong berkuasa tinggi untuk meneropong orang lain. Lalu, ketika meneropong, terzahirlah pada pandangan mata kita sebiji titik hitam yang besar ataupun sebutir ketulan yang berwarna kuning kemerahan. Maka dalam hati kecil, kita mula membuat kesimpulan,“buruknya rupa orang ni!”. Tanpa sedar,kita sebenarnya menunjukkan sikap “jump to conclusion” yang begitu ketara. Apabila kita melihat rupa keseluruhan manusia tersebut, baru kita perasan bahawa cantiknya rupa dia, dengan tahi lalat yang menjadi pemanis wajah. Ataupun jerawat batu yang hanya timbul di wajahnya itu hanya berlaku jarang-jarang sahaja.

Inilah sifat manusia yang akan merosakkan hubungan persahabatan dan persaudaraan antara Muslim. Seperti kebiasaan,sebagai seorang Muslim, setiap perkara yang berlaku perlulah berbalik kepada ajaran Islam. Konsep husnuzon sering menjadi perkara utama apabila berbicara berkenaan ukhuwwah Islamiyyah. Inilah serendah-rendah darjat ukhuwwah yang diajar dalam Islam. Maka, mereka yang terlalu cepat menilai manusia dengan hanya memandang kepada beberapa aspek merupakan orang yang tidak reti berukhuwwah. Inilah yang terjadi kepada sang peneropong tadi yang terus negatif kepada orang lain dengan hanya memandang kepada bahagian-bahagian tertentu sahaja. Moga-moga kita bukan seperti sang peneropong tadi. Wallahu’alam.

Nilai Titisan Air Mata

Bismillaahi Walhamdulillaah

Sabda Nabi s.a.w, “Pada hari kiamat, setiap mata menangis kecuali tiga mata; mata yang menangis kerana takut kepada Allah, mata yang terpejam dari larangan-larangan Allah, serta mata yang berjaga di jalan Allah”. Allah jua berfirman dalam kitabnya yang mulia, Al-Quranul Karim:

109. Dan mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyu'. (al-Israa’)

82. Maka hendaklah mereka tertawa sedikit dan menangis banyak, sebagai pembalasan dari apa yang selalu mereka kerjakan. (at-Taubah)

Setelah ku terdetik untuk mula menulis blog, pada mulanya ku ingin meletakkan nama Izzul-Islam (kemuliaan Islam) untuk menterjemahkan harapan diriku agar Islam kembali dijulang dan dimuliakan pada tempat yang layak untuknya, kerana hanya darjat kemuliaanlah yang sepatutnya menjadi tempat untuk Islam. Di saat-saat akhir ku melangkah ke cyber café untuk membina blog, terlintas di kotak akalku untuk meletakkan nama yang lain; Titisan Air Mata, kerana, bagiku, manusia tidak akan mengenal erti kemuliaan agama selagimana tak tertitisnya air dari mata kita setelah sekian lama melihat Islam dihina, dicerca dan dizalimi seakan-akan Islam menjadi hamba kepada agama-agama kuffar yang lain. Sedangkan Allah telah menjamin bahawa sesungguhnya Islam sahajalah agama yang diredhai disisinya.

Oleh yang demikian, selagi air murni tidak mengalir keluar dari mata kita, maka selama itu jualah tertutup hati kita dari mengenal kemuliaan Islam; kerana titisan air mata hanya datang dari hati yang jernih pandangannya pada Allah yang telah menjamin agama yang kita anuti ini. Tidak akan tertitisnya air dari hati yang berkarat. Moga harapanku kembali bersinar; untuk melihat masyarakat kembali menitiskan air mata suci apabila Islam dihina. Bukan menangis kerana lemah. Namun, dengan tangisan, akan lahirnya kekuatan. Dengan kekuatan, akan lahirnya tindakan. Dengan tindakan, akan terjulangnya ISLAM yang suci! Wallahu’alam

Salam Perkenalan

Bismillaahir Rahmaanir Rahiim

Bismillaahi Walhamdulillaah

Segala puji bagi satu-satunya yang layak dipuji, Allah s.w.t kerana telah memberikan keizinan buatku untuk membuat blog sendiri, perkara yang tidak pernah ku hajatkan selama ini. Namun, setelah mendapat banyak nasihat dari pelbagai pihak yang bersahabat mahupun yang memimpin diriku, maka ku kuatkan diri untuk membina blogku sendiri. Masih ku teringat ketika ku mengikuti kursus penulisan dan membina blog setahun yang lalu. Ketika itu, langsung tidak ada dalam diriku minat untuk menulis mahupun menghuraikan idea-idea dan pendapatku dalam bentuk penulisan. Pemikiranku ketika itu masih tertutup dan jumud; ‘penulisan dan penerangan hanya untuk biro penerangan atau penerbitan, aku tak terlibat’. Maka, sepanjang saat itu jualah ku tidak mengambil kisah tentang bidang penulisan, apatah lagi untuk membina blog milikku sendiri.

Akhirnya, setelah PRU12 berlalu, ku mendengar post-mortem yang dibuat oleh beberapa pihak berkenaan kemenangan besar pembangkang hingga mampu menguasai 5 negeri; fungsi bloggers!. Terkejut bercampur kagum mengisi ruang dadaku. Sejak itu, ku mula memberikan secebis tumpuan mataku dan sesaat ruang masaku untuk melihat sahabat-sahabatku yang sudah mula menulis dalam blog mereka sendiri. Ku kagum dengan semangat yang mereka ada untuk menterjemahkan idea mereka dan perasaan mereka dalam bentuk yang bersifat hitam putih, bukan sekadar telinga yang mampu mendengar penjelasan dan luahan mereka, malah mata dan hati juga mampu membaca berulang-ulang kali idea-idea yang mereka lontarkan. Mungkin inilah manfaat penulisan. Sifatnya unik. Bentuknya konkrit dan hitam putih, bukan bersifat abstrak dan kelabu yang terawang-awang di awan minda mahupun bergetar-getar di bibir mulut sahaja.

Akhir kata, terima kasih ku ucapkan buat sahabatku Sharif (islahkan-dunia.blogspot.com) kerana telah memberikan ku tunjuk ajar untuk membina blog. Begitu jua sahabatku Fareez (mohdfareezothman.blogspot.com) yang telah menunjukkan kesungguhannya untuk menulis hinggakan terkesan semangatnya itu pada benak jiwaku. Terima kasih jua untuk semua pihak yang telah menyedarkan ku tentang kepentingan mempunyai blog tersendiri. Salam perkenalan. Wallahu’alam