BismilLaahi Wal HamdulilLaah…
Tengah-tengah tengok rancangan debat ni, tiba-tiba terasa nak menulis dan mengulas sedikit sebanyak. Tapi, keseluruhannya, Anwar menjaringkan 4 gol berbalas 0. Saya sendiri tak mampu dan tak faham sangat berkenaan fakta ekonomi dan krisis-krisis berkenaan IPP yang dikemukakan oleh DSAI, sebab saya jahil sikit bab ekonomi ni. Ingatkan Dato’ Shabery Chik memahaminya, rupa-rupanya dia pun tak tahu sangat,lalu banyaklah hujahnya yang menunjukkan kejahilannya juga dalam ekonomi.
Langkah awal yang dicadangkan oleh DSAI adalah untuk menurunkan sebanyak 50 sen disanggah oleh Dato’ Shabery Chik kerana semasa PRU-12 yang lalu, DSAI menjanjikan untuk menurunkan harga minyak yang pada ketika itu berharga RM1.92. Maka, 50 sen yang dicadangkan oleh beliau adalah bertentangan dengan apa yang dijanjikan sebelum pilihanraya. Namun, apa yang DSAI jawab amat memuaskan hati dan mudah difahami. Dalam keadaan ekonomi yang semakin parah dan inflasi yang makin melonjak akibat kenaikan mendadak harga minyak oleh kerajaan BN, maka langkah awal yang dikemukakan oleh DSAI adalah berdasarkan keadaan semasa sekarang, berbeza dengan keadaan sebelum PRU-12. Ia hanyalah langkah awal, akan menyusul langkah seterusnya. Tapi, Dato’ Shabery macam tak faham juga,hinggakan diulang lagi hujah tersebut di segmen akhir debat.
DSAI menyebutkan bahawa, inflasi sekarang sudah naik kepada 8%, berbanding kenaikan pada tahun 2006 iaitu 4.3% yang ketika itu kenaikan harga minyak adalah sebanyak 30 sen. Lalu Dato’ Shabery cuba membandingkan inflasi Malaysia dengan inflasi di Venezuala, Iran, Qatar dan lain-lain lagi yang tinggi walupun harga minyak mereka rendah. Mudah sahaja hujah balas oleh DSAI; Malaysia, inflasi tinggi, harga minyak tinggi berbeza dengan negara-negara tersebut. Jangan bandingkan Malaysia dengan negara-negara yang berbeza dengan level Malaysia!
Dato’ Shabery mengemukakan kenyataan bahawa apabila harga minyak dikurangkan, maka akan ramai golongan kaya, syarikat-syarikat minyak luar dan syarikat-syarikat besar yang lain akan mendapat keuntungan besar, sedangkan rakyat tidak mendapat faedah yang besar. Lalu, kerajaan memutuskan untuk mengalihkan subsidi kepada perkara-perkara lain seperti makanan, pengurangan cukai dan lain-lain lagi. Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan tidak mahu melahirkan rakyat yang terus-menerus bergantung kepada subsidi untuk hidup dan istilah subsidi dipandang amat jelik.
Lalu saya terfikir, minyak ini rezeki dan nikmat untuk siapa sebenarnya? Bukankah ia untuk rakyat Malaysia? Apakah jika diberikan subsidi, maka saya sebagai rakyat Malaysia dianggap tidak berdikari? Maka, untuk siapakah nikmat minyak tersebut perlu diagihkan sebenarnya? Jika benar duit minyak digunakan untuk pembangunan, pendidikan, sistem pengangkutan, kebajikan felda, kampung dan lain-lain lagi, mengapa rakyat terus-menerus terhimpit? Apa jenis pembangunan yang ingin dibawa sebenarnya? Ataupun ia hanyalah untuk menyelamatkan kerajaan dan kroni-kroninya? Kenapa urusan wang keuntungan minyak diletakkan di bawah PM dan tidak dibentangkan kepada rakyat? ……
Pada segmen kedua debat, Dato’ Shabery Chik lebih menyerang DSAI secara individu dengan membangkitkan demonstrasi Baling 1974, kepimpinan beliau semasa menjadi Menteri Kewangan dan juga TPM suatu ketika dahulu. Dalam bab ini, saya ragu-ragu dengan apa yang dinyatakan oleh beliau, kerana banyak fakta-fakta yang dikemukakan oleh beliau merupakan tidak jelas dan ada fakta-fakta yang salah hinggakan fakta-fakta tersebut terpaksa dicanggah dan diperbetulkan oleh DSAI kerana dia yang berada dalam kerajaan suatu ketika dahulu, maka dia lebih tahu apa yang sebenarnya berlaku. DSAI lebih banyak mengemukakan fakta-fakta ekonomi yang sangat jelas dan menyakinkan yang menunjukkan betapa Menteri Penerangan sebenarnya tidak layak berdebat berkenaan dengan ekonomi dengan DSAI yang lebih meluas pengetahuannya.
Akhir kata, rancangan debat ini berjaya membuka minda rakyat bahawa pendirian DSAI jelas dan pendirian Dato’ Shabery Chik hanyalah sekadar ingin menyerang DSAI secara peribadi, bukannya hendak memperjelaskan sangat tentang hujah-hujah kuat yang dikemukakan oleh DSAI.
WalLahu’alam
No comments:
Post a Comment