Wednesday, April 7, 2010

Facebook = Pisau Tajam ?

BismiLlaahi Wal HamduliLlaah.

Pernah beberapa minggu yang lepas, aku terbaca dalam satu artikel berkenaan dengan facebook. Dinyatakan bahawa, sekiranya diperhatikan di komputer2 yang disediakan oleh pihak universiti, lebih 80% daripada pengguna ( pelajar) sedang melayari web facebook.

Dan itulah jua yang aku perhatikan di sini. Daripada 10 komputer yang sedang digunakan, 9 daripadanya sedang melayari facebook.

Persoalannya, salah ke join facebook ni? Jawapannya mudah, sepertimana dinyatakan pada tajuk di atas. Salah ke beli pisau tajam? Tak salah jika benar penggunaannya untuk manfaat, bukan untuk mencederakan. Salah ke beli handphone? Sudah tentu salah jika digunakan untuk maksiat (contohnya, telefon makwe, rakam video2 tak elok, simpan gambar2 tak elok, sebar pulak kat orang lain dll)

Facebook membantu meramaikan kenalan di pelusuk dunia

Tapi, aku terbaca satu tulisan di blog http://abuumair1. wordpress. com/2010/ 03/04/facebook- photos-tagging- yang-mengundang- dosa/#more- 2486 berkenaan dengan facebook ni yang bagiku cukup penting untuk difahami oleh pengguna2 facebook.
______________________________________________________

Menariknya fungsi ‘tagging‘ dalam aplikasi ‘Photos‘ ini, ialah semua gambar-gambar yang dilakukan tagging kepada seseorang pengguna akan terkumpul di bahagian ‘Photos‘ di profile nya. Mungkin pengguna tersebut tidak pernah mempunyai atau melihat gambar yang ditagkan itu. Tetapi ‘tagging‘ membantu pengguna mendapatkan dan mengumpulkan gambar-gambarnya yang ada pada orang lain. Itu dari sudut positifnya.

Dari sudut yang lain, tagging adalah satu operasi penyebaran gambar kepada khlayak pengguna Facebook secara berleluasa. Lagi banyak nama-nama yang ditag pada satu-satu gambar, bererti makin ramai pengguna yang dapat melihat gambar tersebut. Contohnya, satu gambar ditagkan kepada 10 pengguna, dan setiap pengguna secara purata mempunyai 200 orang kawan atau ‘friends‘. Bererti sekurang-kurangnya 2000 pengguna dapat menatap gambar tersebut.

Jadi apa masalah dengan penyebaran gambar ini? Masalahnya ialah apabila gambar yang ditagkan kepada ramai pengguna itu mengandungi unsur yang tidak baik. Contohnya, pendedahan aurat atau lain-lain kandungan yang mengaibkan dan menjatuhkan maruah.

Saya sedih melihat sebahagian rakan-rakan pengguna Facebook yang makin terhakis rasa malunya. Tidak segan memuat naikkan gambar-gambar yang mendedahkan aurat lagi mengaibkan. Yang lelaki meletakkan gambarnya tanpa berbaju, memperagakan pusatnya, berseluar pendek, menampakkan pehanya. Yang perempuan meletakkan gambar sekumpulan anak dara waktu di asrama wanita dengan masing-masing berpakaian tidur mendedahkan rambut dan aurat lain.

Kemudian, gambar-gambar mengaibkan ini disebarkan pula dengan cara tagging kepada pengguna lain seberapa ramai yang boleh. Sekurang-kurangnya dia telah melakukan dua kesalahan.

Pertama: Memuat naikkan gambar yang mendedahkan aurat, dan memberi peluang kepada pengguna lain dari kalangan rakan-rakannya menatap gambar-gambarnya yang mendedahkan aurat. Hukumnya, rata-rata ahli fatwa berautoriti pada zaman kini berpendapat memperlihatkan gambar mendedahkan aurat kepada orang lain adalah haram. Ia termasuk dosa bantu-membantu dalam perkara maksiat.
Kedua: Menyebarkan gambar tersebut kepada rakan-rakan pengguna lain melalui fungsi ‘tagging‘, mendedahkan lagi gambar tersebut kepada khalayak pengguna yang lebih ramai. Dosanya lebih besar, kerana dia menjadi penyebab kepada berleluasanya satu maksiat kepada Allah. Kaedah dalam agama menyatakan orang yang menunjukkan kepada satu kejahatan, akan dibebankan dengan dosa tersebut dan dosa orang yang melakukannya.

Saya menyeru kepada semua rakan-rakan pengguna Facebook, jika ada gambar-gambar yang dimuat naikkan mengandungi unsur yang mendedahkan aurat dan mengaibkan, wajarlah ia dipadam. Jangan memandang perkara ini satu isu remeh. Kerana resam orang beriman, melihat satu dosa umpama gunung yang hampir menghempapnya. Sebaliknya resam orang kafir, melihat satu dosa umpama lalat yang hinggap di batang hidungnya.
________________________________________________________

Bagaimana kita? Tepuk dada, tanya iman. Bukankah taqwa itu maksudnya berhati-hati dalam setiap perkara agar tak terjerumus dalam kancah maksiat?

Wassalam.

No comments: